Zafrul

Tengku Zafrul Umum Letak Jawatan Bendahari Umno Selangor.

2024-04-02

Tengku Zafrul Umum Letak Jawatan Bendahari Umno Selangor. | BACA VIRAL : Ketua UMNO Bahagian Kota Raja. Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan perletakan jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor sebentar tadi.

 

Zafrul

Beliau dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan. Keputusan itu dibuat selepas melihat rangka pelaksanaan kebangkitan parti itu hambar malah tidak sehaluan dengan tema di UMNO pusat.

“Saya melihat sendiri bagaimana Presiden UMNO dan kepimpinan nasional tidak henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat pusat. Namun, sejauh mana hebat perencanaan pusat, yang melaksana ada di negeri dan ke bawah.

“Saya tak mampu mengulas buat negeri lain. Tetapi untuk negeri saya Selangor, pelaksanaan itu hambar malah ada ketika tidak sehaluan dengan tema di pusat.

PRINSIP TENGKU ZAFRRUL

“Pendekatan dan prinsip saya mudah. Kalau saya tidak dapat menyumbang kepada perubahan positif atau penambahbaikan maka saya tidak harus memegang sesuatu jawatan.

“Malah lebih baik saya mengosongkan jawatan untuk diisi orang yang boleh menyumbang dengan lebih efektif.

“Justeru itu, berkuatkuasa hari ini, saya meletakkan jawatan selaku Bendahari UMNO Selangor,” katanya di platform tersebut.

Menurutnya, Selangor merupakan sebuah negeri yang amat penting untuk mana-mana parti politik bertapak.

“Demografinya yang majmuk dengan asas majoriti Melayu Bumiputera. Ditambah dengan keseimbangan bandar serta luar bandar, mencerminkan dinamika Malaysia yang lebih luas.

“Kerancakan ekonominya sentiasa meletakkan Selangor sebagai lokasi tumpuan segenap aktiviti,” katanya.

Ujarnya lagi, beliau telah meletakkan satu matlamat utama untuk menyumbang kepada kebangkitan UMNO di negeri itu. Sejak dilantik memegang jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Bendahari UMNO negeri Selangor.

KEPUTUSAN TENGKU ZAFRUL

“Natijahnya, jika sesebuah parti tidak ada keberadaan yang kuat di Selangor, parti itu sukar digelar sebuah parti nasional atau parti untuk masa depan.

“Untuk mengelak hakikat ini, strategi ampuh sepatutnya perlu dirangka dengan ketetapan yang sesuai dengan realiti semasa.

“Keputusan pilihan raya negeri di Selangor tahun lepas sewajarnya menjadi tanda jelas bahawa sesuatu perubahan perlu dilaksanakan dengan segera.

“Antara lain, tawaran kepada pengundi Selangor harus dibina dengan lengkap, diuji dan disemak dengan pemegang taruh,” katanya.

Jelasnya lagi, kerjasama dengan parti-parti lain mesti diperkuat bukannya dilemahkan atas angan-angan bahawa masalah UMNO terletak pada hubungannya dengan parti lain, apatah lagi sedangkan hubungan itu sudah wujud di peringkat pusat.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa (MITI) itu juga merakamkan ucapan terima kasih atas lantikan dan kepercayaan yang diberikan kepadanya selama memegang jawatan tersebut.

“Saya akan tetap meneruskan tugasan, peranan sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang dipilih.

“Saya sentiasa mendoakan agar Allah SWT merestui perjuangan hakiki kita bersama dan semoga UMNO khususnya UMNO Selangor bertapak kembali di hati rakyat Negeri ini, insya-Allah.

“Semoga UMNO kembali ke persada politik tanah air demi agama, bangsa dan negara. Dulu, kini dan selamanya,” katanya lagi.

 

Sumber: Facebook Tengku Zafrul

 

Jika anda nak tahu tempat makan best boleh ke website kami : TEMPAT MAKAN BEST

Artikel Lain